Sunday, September 13, 2009

Umah Kawan aku terbakar...


KOTA BHARU: “Duit raya RM1,000 yang saya sediakan untuk ‘anak buah’ semuanya hangus,” kata Bazlan Sulaiman, 39, selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Paya Rambai, Jalan Bayam, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, rumah pusaka dibina daripada papan sejak 50 tahun lalu itu tidak dapat diselamatkan berikutan api marah dengan cepat.

Difahamkan, kejadian disedari jiran mangsa sebaik melihat asap tebal keluar dari bahagian bumbung tengah rumah terbabit sebelum menjerit sekuat hati dengan mengarahkan penghuninya bergegas keluar.

Situasi itu menyebabkan adik Bazlan, Suhaimi, 33, yang asyik melayari Internet di biliknya panik dan meninggalkan rumah berkenaan tanpa berbaju.
Menceritakan kejadian itu Bazlan yang bekerja sebagai juru ukur tanah berkata, dia dimaklumkan jirannya mengenai kebakaran yang berlaku ketika pulang dari pasar berdekatan.
“Kira-kira jam 11.30 pagi saya ke pasar untuk membeli barang dapur. Sebaik sampai di rumah, jiran memberitahu rumah kami terbakar.

“Berdasarkan maklumat jiran, kejadian bermula dari bahagian tengah rumah selepas dia melihat kepulan asap hitam di situ,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurut Bazlan, dia tidak dapat menyelamatkan barangan kerana semuanya hangus dalam sekelip mata, termasuk sebuah motosikal jenis Kawasaki miliknya yang diletakkan berhampiran rumah.

“Paling saya terkilan, wang tunai RM1,000 yang baru saya tukar untuk diberi kepada anak saudara pada Aidilfitri nanti turut hangus,” katanya yang menetap di rumah pusaka bersama tiga beradiknya yang lain.

Suhaimi yang baru mendirikan rumah tangga pada Jun lalu pula berkata, dia terpaksa berputih mata kerana pakaian pengantinnya hangus dalam kebakaran.

“Kejadian berlaku ketika saya melayari Internet di bilik. Tiba-tiba saya terdengar jeritan dari arah rumah kakak. Mulanya saya sangka ia pembakaran sampah, tetapi terkejut bunyi itu datang dari sebuah bilik.

“Tanpa berbaju, saya segera menyelamatkan diri kerana api marak dengan cepat,” katanya yang bekerja di sebuah bank di Rantau Panjang.

Sementara itu Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Nor Affendi Mohd Noor, berkata 15 anggota membabitkan tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 12.48 tengah hari.

“Ketika anggota bomba tiba, api marak dan rumah terbabit 100 peratus terbakar. Bagaimanapun, bomba berjaya menyelamatkan sebuah bengkel, dua rumah dan sebuah butik pengantin daripada terbakar.

“Punca kejadian serta kos tidak diketahui dan siasatan masih dijalankan untuk mengetahui kedudukan sebenar,” katanya.