Tuesday, September 2, 2008

Kelantan Destinasi Pelancongan

Kelantan Negeri Che Siti Wan Kembang menyimpan seribu rahsia di sebalik kehijauan alam semulajadi, kegemilangan adat resam dan kebudayaannya yang masih kekal sejak berkurun lamanya. Sinonim dengan pantai-pantainya yang cantik dan bersih, hamparan sawah padi bak permaidani emas, kedamaian perkampungan nelayan serta keunikan hasil seni kraftangan sering menjadi bahan perbualan dikalangan para pengunjung yang datang bertandang.

Penduduk kelantan yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama hidup aman dan harmoni. Sebilangan besar dari penduduk Kelantan berbangsa melayu. Mereka masih mengamalkan adat resam dan kebudayaan yang diwarisi dari generasi nenek moyang mereka. Pendududuk kelantan sememangnya dikenali dengan sifat lemah lembut, berbudi bahasa serta ramah mesra terutama sekali apabila menyambut tetamu tidak kira dari dalam dan luar negara.

Kelantan Darul Naim terletak di penjuru sebelah timur semenanjung Malaysia dan berkongsi sempadan dengan Thailand di bahagian utara. Negeri ini ibarat khazanah berzaman yang memukau mata. Perkampungan indah nelayan, pantai di pinggir pohon-pohon palma, sawah padi subur menghijau dan permainan tradisional seperti wau dan gasing. Masyarakat disini masih mengekalkan adat resam dan tradisi turun menurun mereka. Lantaran itu kena pada tempatnya Kelantan digelar " akar umbi kebudayaan Melayu".

Kota Bharu, ibu negeri "Cik Siti Wan Kembang" yang pesat ini dengan tarikan masa silam sekaligus memberi pelancong peluang meneropong jauh ke dalam corak kehidupan masyarakat Kelantan yang unik. Wajah, bahasa dan hakikat Kelantan yang sebenar boleh dirakamkan di Pasar Budaya, habuan paling istimewa buat peminat fotografi. Suasana warna-warni dan meriah di bazar yang dikuasai oleh peniaga wanita dengan bermacam-macam jualan termasuk sayur-sayuran, makanan laut, kuih-muih, batik, kraftangan serta jeruk sememangnya pemandangan yang tidak boleh dilepaskan.

Negeri ini tidak asing lagi dengan industri perkampungannya seperti percetakkan batik, pertukangan perak,ukiran kayu dan tenungan songket. Pusat Budaya yang terletak ditengah-tengah bandar sungguh terkenal kerana mempamerkan kekayaan warisan, kebudayaan dan tradisi negeri Kelantan. Di sini pengunjung-pengunjung berpeluang meyaksikan demontrasi hebat bermain wau dan gasing piring yang boleh berputar selama berjam-jam tanpa henti disamping menghayati bunyi paluan rebana ubi, sejenis gendang besar berhias indah yang mengasyikkan. Sebagai hiburan waktu malam disediakan persembahan muzik tradisional melayu dan wayang kulit yang mengarakkan kombinasi kemahiran bermain dengan lampu dan gerakan boneka, di samping pertunjukkan silat iaitu seni pertahanan diri tradisional masyarakat melayu. Terdapat pantai-pantai yang cantik di sekitar Kota Bharu misalnya pantai Cayaha Bulan, Pantai Irama, Pantai Bisikan Bayu dan Pantai Sri Tujuh. Kesemua pantai ini seindah namanya juga.

Kota Bharu adalah tempat terbaik bagi para pelancong bagi mengenali penduduk tempatan dengan lebih rapat lagi dari sudut kebudayaan dan kraftangan. Ia juga menawarkan pelbagai tempat yang menarik untuk dikunjungi.


TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI KELANTAN
* Pasar Besar Siti Khadijah
* Bazar buluh Kubu
* Rantau Panjang
* Arked MPKB
* Pantai Cahaya Bulan
* Pengkalan Kubor
* Pasar Wakaf che Yeh
* Pantai Irama
* Pantai Sri Tujuh
* Gunung Stong
* Wat Siam






































No comments: